Tuesday, June 17, 2008

Episod 1


Aku mengalihkan pandangan ke luar jendela memerhatikan bahu jalan sepanjang perjalanan Kedah-Kuala Lumpur. Sekali-sekala pandanganku tertumpu kepada cahaya lampu yang melimpah keluar dari rumah penduduk tempatan. “ Akan ku sempurnakan misi kali ini dengan sebaik mungkin ”, monolog aku sendirian. Fikiranku melayang-layang memikirkan perkara yang dibincangkan dalam taklimat minggu lalu. Suara Cikgu Ismail seolah-olah masih terngiang-ngiang di gegendang telingaku.

“ Sebagaimana yang kamu ketahui Acheh telah dilanda tsunami pada 26 Disember yang lalu. Bahagian persisiran pantai Sumatera terutama sekitar Acheh teruk dibantai ombak besar-besaran itu. Bukan sedikit harta benda yang musnah. Begitu juga ia meragut ratusan ribu nyawa manusia tak kira usia. ”

Cikgu Ismail mencapai air mineral di hadapannya. Kelihatan halkumnya bergerak-gerak ke atas dan ke bawah tatkala air mula memasuki kerongkong. Jelas kelihatan tekaknya yang berkedut dimamah usia. Walaupun begitu semangatnya persis orang muda. Cikgu Ismail menambah, “ Kamu semua telah dipilih oleh Engenius Trading Company untuk melaksanakan misi syarikat di sana. Syarikat telah memperuntukkan sebahagian daripada keuntungan yang diperolehi untuk membantu umat Islam Acheh ”.

“ Mengapa Engenius berhajat membantu penduduk Acheh ?. Engenius punya bisnes di sana ke cikgu ? ”, tanya Hazwan kepada Cikgu Ismail yang lebih popular dengan panggilan cikgu. “ Pada hakikatnya kita tiada bisnes di sana. Namun atas kesedaran membantu saudara seIslam, maka kita wujudkan pasukan untuk melaksanakan misi yang telah kita tetapkan ”, jawab Cikgu Ismail.

“ Bagus!. Tak ramai orang yang berfikiran begitu cikgu. Tapi apa tugas kami di sana ? ”, celah Ilyas. “ Orang muda memang tak sabar ”, kata Cikgu Ismail sambil ketawa kecil. “ Cuba perhatikan profail yang ada di depan kamu. Maklumat terperinci tentang misi ini diterangkan di situ. ”

Lamunanku terhenti apabila bas mula memperlahankan kelajuan membelok ke sebelah kiri memasuki hentian Rehat & Rawat Tapah.

. . .

Puduraya! Puduraya! ”, laung pemandu bas. Aku menyapu muka sambil membetulkan cermin mata. Lantas telingaku menangkap bunyi penumpang turun dari bas. Mereka dengan bagasi masing-masing berjalan terhoyong-hayang bagaikan orang mabuk.

Aku seperti biasa ke restoran mamak berdekatan sementara menunggu waktu subuh. “ Minum apa?, ” tanya seorang pelayan di situ. “ Teh tarik saja. Makan tak mau, ” aku menjawab. Mataku memerhatikan ke luar restoran sambil mencari kelibat rakan-rakan yang lain. Aku tersengguk-sengguk mengantuk tatkala minuman sampai. Kuhirup buih teh tarik yang terapung-apung memenuhi permukaan gelas.

Waktu menginjak perlahan. Fajar belum menyinsing namun Kuala Lumpur sudah terjaga dari lenanya. Begitulah keadaan kota metropolitan saban hari yang rancak dengan pelbagai aktiviti ekonomi. Ia menjadi tempat anak watan mencari sesuap nasi, tak kurang juga limpahan warga asing yang berhijrah ke sini. Ibu kota Malaysia itu terus membangun seiring kepesatan bandaraya lain di dunia.

Sedang asyik menikmati kesibukan pagi, aku dikejutkan dengan suara orang memberi salam. “ Assalamualaikum, dah lama tunggu ?. Sorry la, bas aku lambat sampai. Berhenti lama tadi, ” kata Adam. “ Waalaikumsalam. Tau dah mu meme gitu. Jarang sangat nak awal, ” balas aku seakan mengusik.

Kami berbual-bual sehingga kedengaran azan dari Masjid Jamek yang terletak berhampiran. Langkah diatur menuju seruan Ilahi.

. . .

No comments: